Khusyuk Dalam Solat


Formula Solat Sempurna - Ust. Zaharuddin Abd Rahman (TB)

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum,

Seperti biasa, marilah kita panjatkan kesyukuran kehadrat-Nya ayng telah mengkurniakan sihat tubuh badan dan akal fikiran agar kita dapat menjalankan amanah kita sebagai hambanya di mukabumi ini. Sebentar tadi sedang aku memandu untuk pulang ke rumah, terlintas difikiran akan ceramah dari Ustaz Kazim Elias berkenaan solat. Di dalam ceramah beliau menceritakan tentang pentingnya khusyk ketika kita bersolat.

Setibanya aku di rumah, sesudah aku mengerjakan solat Isya’ langsung aku mentelaah sebuah buku hasil penulisan Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman yang berjudul “Formula Solat Sempurna”. Di dalam penulisan beliau ada beliau menekankan bab khusyuk ketika bersolat dan ingin aku kongsikan bersama di sini.

Khusyuk merupakan jiwa atau roh kepada solat. Solat yang tidak dijiwai dengan khusyuk hanyalah solat yang sia-sia, tidak memberikan apa-apa melainkan hanya mendapat kepenatan. Ini ditegaskan oleh Baginda Nabi s.a.w ketika mengingatkan orang yang tidak menjaga hati dan khusyuk ketika bangun menunaikankan solat malam:

“Dan barangkali orang yang berdiri (solat di tengah malam) itu tidak diperolehinya kecuali berjaga malam (Penat dan letih).” (Riwayat Ibn Hibban dan al-Tabrani)

Imam Abu Hamid al-Ghazali dan kebanyakkan ulama menyatakan maksud hadis ini ditujukan kepada orang yang lalai ketika solatnya. Adakah layak hamba Allah s.w.t yang sedang berdua-duan dan berhadapan serta bermunajat kepada Allah s.w.t tetapi hati dan mindanya terbang kepada selain Allah?

Menurut Ustaz Zaharuddin, khusyuk boleh dikategorikan kepada dua:

  1. Khusyuk Hati
    Khusyuk Hati ialah merasakan pengawasan Allah s.w.t serta kehebatan-Nya dengan meneliti (tadabur) makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca dan zikir-zikir yang dilafazkan seperti takbir, tasbih dan lain-lain. Hal yang demikian itu, akan menyebabkan seseorang itu benar-benar merasakan ia berada di hadapan Allah swt.Perlu difahami iaitu keadaan tidak khusyuk yang ditegah dalam Islam ialah kesibukan pemikiran dan hati (ketika solat) dalam perkara dunia. Bagaimanapun, jika semasa solat seseorang berfikir dan disibukkan mindanya oleh urusan akhirat dan Islam, seperti semasa solat, seseorang memikirkan bagaimana kaedah ingin memenangkan umat Islam dan menaikkan kalimah hak, maka ia tidaklah ditegah. 

    Dalilnya ialah tatkala Baginda s.a.w menghantar seorang Parsi untuk mengintip berita musuh, lalu Baginda pun mendirikan solat selepas itu. Bagaimanapun Baginda berpaling ke jalan laluan pengintip Baginda tadi.Maka Ibn Qayyim berkata, ini ialah satu jenis kesibukkan pemikiran, dan jenis palingan orang yang lalai pemikirannya adalah hal yang lain.

    Demikian juga Sayidina Umar al-Khattab r.a pernah memberikan arahan secara keramat atau luar biasa kepada kumpulan tentera Islam di dalam solatnya dan juga khutbah.

  2. Khusyuk Anggota
    Khusyuk Anggota pula merupakan pelengkap dan manifestasi daripada kekhusyukan hati seseorang yang sedang solat. Sebagaimana dinyatakan dalam sebuah athar:“Jika khusyuk hati ini, maka khusyuklah anggotanya.” 

    Khusyuk Anggota yang dimaksudkan ialah tidak berpaling, bergerak-gerak yang banyak, yang bukan daripada perbuatan solat, yang boleh menghilangkan kekhusyukan solat, sehinga dilihat tiada beza dengan keadaan orang yang diluar solatnya. Menurut para ulama ketika menghuraikan athar ini, ia ditujukan khas kepada orang yang kerap lalai dalam solatnya.

Khusyuk Dalam Solat

Kaedah Mendapatkan Khusyuk

Terdapat Lima perkara mencapai khusyuk:

  1. AL-TAFAHHUM: Memahamkan semua bacaan di dalam solat dan menghayati maknanya.
  2. AL-TAKZIM: Merasakan kebesaran Allah s.w.t seolah-olah anda berada di hadapan-Nya.
  3. AL-HAYBAH: Mengahadirkan rasa gerun terhadap kekuasaan Allah s.w.t, dengan demikian rasa hebat terhadap Allah s.w.t akan dapat dihasilkan
  4. AL-RAJAK: Mengharapkan rahmat Allah s.w.t dengan sepenuh harapan bahawa ibadat anda akan diterima.
  5. AL-HAYAK:  Berasa malu kepada Allah s.w.t kerana kecuaian dalam mengotakan janji kita terhadap-Nya dan kekurangan kita dalam melakukan ibadat terhadap-Nya.

Abu Hurairah ra pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang bagaimana caranya malu kepada Allah s.w.t itu? Lalu Rasulullah s.a.w menjawab:

Maksudnya: “Kamu berasa malu dengan-Nya, sebagaimana kamu berasa malu kepada lelaki yang soleh dalam kalangan kamu.”

Penulisan ini juga sebagai nasihat buat diriku yang mana sebelum ini hanya berlandaskan ikut-ikutan, memang benar kita sepatutnya mendalami ilmu agama dengan lebih banyak lagi kerana apa yang ketahui oleh kita hanya sekadar asas sahaja, sepertimana sebuah hadis ada menyebut:

“Apabila Allah swt menginginkan kebaikan bagi seseorang maka dia diberi pendalaman dalam ilmu agama. Sesungguhnya memperolehi ilmu hanya dengan belajar.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Makna Bacaan Dalam Solat

Allahu Akbar

Allah Maha Besar

Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan Ketika Rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.

Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.

Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Sumber: Formula Solat Sempurna – Bab 5 (Khusyuk dalam Solat)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s