Rezeki Yang Berkat


بسم الله الرحمن الرحيم

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. dengan bersungguh-sungguh mematuhi segala perintah-Nya dan merasa bahagia menjauhi segala larangan-Nya. Hanya manusia yang paling bertaqwa akan diberi rahmat oleh Allah SWT. di dunia mahupun di akhirat.

Secara umum berkat ialah sesuatu yang lebih dari setiap pemberian Allah SWT. Ia terhasil daripada keyakinan, ketaatan, kepatuhan dan kehambaan manusia yang berterusan kepada Allah SWT. Di setiap ketika, apabila ada sahaja manusia melakukan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nyadengan penuh ikhlas, maka  Allah SWT. akan menurunkan keberkatan-Nya kepada mana-mana individu yang dikehendaki-Nya.

Rezeki yang membawa berkat insya-Allah akan sentiasa memberikan kecukupan, kesempurnaan, kedamaian, ketenangan, keselesaan dan kebahagiaan kepada mereka yang memperolehinya. Mereka akan kelihatan tenang, tabah dan sabar. Berkat bukan sahaja dinikmati secara perseorangan tetapi juga akan berkembang kepada ahli keluarga, anggota masyarakat dan negara.

Manakala orang yang sedang memperoleh berkat biasanya akan menjadi insan pemurah dan penyayang yang akan menyampaikan pula apa jua rezeki yang dikecapinya kepada orang lain melalui pemberian, sumbangan, sedekah, derma atau pertolongan. Sebenarnya tidak semua orang akan diberikan keberkatan oleh Allah SWT. Namun semua orang Islam berpeluang untuk mendapatkannya dengan syarat mereka sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah SWT. di samping kuat pula berusaha mematuhi dan menuruti syariat Allah SWT.

Berkat yang diterima oleh setiap manusia muslim tidak pernah sama walaupun kelihatan serupa. Allah SWT. mengurniakan sesuatu pemberian-Nya berbeza antara satu dengan yang lain. Kepelbagaian bentuk kurniaan oleh Allah SWT. yang dapat diketahui antaranya ialah; diberikan apa-apa jenis harta benda, kejayaan dan pencapaian di bidang pelajaran serta pengetahuan, ketajaman pemikiran, memiliki daya analisa yang luas, mampu menghasilkan tulisan atau karya yang boleh membina kemajuan umat, boleh mereka cipta atau membuat inovasi baru untuk kemudahan umat, kesihatan yang berpanjangan, boleh melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat yang berterusan, rumahtangga yang damai, anak-anak yang soleh dan berbagai lagi.

Sebab itu setiap manusia dijadikan Allah SWT. mempunyai kebolehan yang berbeza-beza. Masing-masing mempunyai peranan dan sumbangan mengikut bidang, kepakaran serta ilmu yang dikuasai. Manakala anggota masyarakat pula mesti meraikan kepelbagaian upaya yang dimiliki oleh setiap manusia. Dengan semangat sentiasa ingin bekerjasama, saling menghormati, berbaik sangka, tidak mengadu-domba, tidak mencipta dan menyebar fitnah, tidak mencerca, tidak mengaibkan manusia, sentiasa menjaga adab dan akhlak ketika bergaul serta prihatin, insya-Allah, kita akan sentiasa mendapat rahmat, pertolongan dan keberkatan dari Allah SWT.

Maka setiap muslim hendaklah meyakini ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kita boleh membanding-bandingkan tetapi jangan mempertikai kenapa Allah membezakan kurniaan-Nya. Yang penting kita hendaklah sentiasa bersikap redha terhadap apa yang Allah SWT. berikan. Malah lebih dari itu kita hendaklah mensyukuri apa sahaja kurniaan Allah SWT. Itulah sifat mulia setiap hamba yang menyedari asal-usul kejadian-Nya yang menuntut ia sentiasa mentaati takdir dan suratan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Di samping itu, usaha, kaedah dan cara mendapatkan rezeki yang berkat juga hendaklah sentiasa mematuhi panduan dan syariat Islam. Kita tidak boleh mendapat rezeki dari sumber atau cara yang haram termasuk menjalankan muamalat yang haram atau kita melakukan apa sahaja tindakan yang menyalahi syariat, seperti menipu, memberi atau menerima rasuah, bermuamalah dengan Sistem Riba’, berjudi, mengambil atau menerima upah untuk melakukan pelbagai perbuatan jahat, melacur, mengedar dadah dan berbagai lagi perkara mungkaryang mesti dijauhi.

Ayat Al-Quran yang dibacakan pada mukaddimah khutbah tadi menjelaskan kepada kita bahawa terdapat sebahagian daripada manusia yang sanggup mendustakan Allah SWT. Wujud sekelompok manusia yang ingkar, mempertikai, tidak patuh dan melawan ketentuan Allah SWT. Sebagai contoh terdapat golongan yang sanggup menyatakan bahawa terdapat kandungan Al-Quran yang sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan masa kini. Lebih malang lagi ada akhbar atau media massa yang dipelopori oleh umat Islam turut menyiarkan berita-berita mungkar ini. Ingatlah, mereka juga turut bersekongkol dan bakal menerima akibat yang sama dari Allah SWT. apabila menyiarkan berita-berita seumpama ini.

Sepatutnya kita hendaklah sentiasa berpada, qana’ah dan bertawakkal dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w.  yang maksudnya:

“Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benartawakkal, maka Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana Diamemberi rezeki kepada burung-burung yang pergi di pagi hari dalamkeadaan perut yang kosong dan kembali dalam keadaan perut yang penuhberisi ’’. (Riwayat At-Tirmizi)

Sikap tawakkal amat diperlukan, ia akan mampu menjadi pemangkin kearah mendorong setiap orang menjadi cekal, kental, mampu bertahan bagim enghadapi sebarang cabaran dan punya jati diri yang tinggi ketika meneruskan kehidupan. Mukmin yang utuh tawakkalnya akan tetap istiqamah, mempunyai integriti yang mantap, berprinsip dan sentiasa mempertahan kebenaran. Ia tidak mudah dipengaruhi dengan sebarang bentuk godaan, pemberian, sogokan, pujian, hadiah, imbuhan, jawatan atau gelaran yang boleh meluntur serta melemahkan iman dan keyakinan terhadap Allah SWT.

Apakah akibat sekiranya ada segolongan manusia telah mempertikai kekuasaan, kewibawaan, kehebatan dan mendustakan Allah SWT.?. Apabila keadaan ini berlaku, maka ketika itulah Allah SWT. akan mengangkat atau menarik balik berkat yang diberikan-Nya. Ketika itu bukan sahaja masyarakatbahkan negara akan kehilangan nikmat yang sepatutnya dirasai. Oleh itu kitahendaklah mengelak daripada melakukan perkara seumpama ini dengan sentiasa syukur dan meredhai segala pemberian dan kurniaan Allah SWT.

Persoalannya ialah kenapakah sesuatu keberkatan itu diangkat atau dicabut oleh Allah SWT.?:-

  • Apabila manusia tidak redha, tidak qana’ah dan tidak bertawakkal kepada Allah SWT.
  • Apabila ada segelintir manusia yang tidak bertaqwa. Taqwa bermaksud takut kepada Allah SWT., yakni sentiasa mematuhi segala suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nyazahir dan batin. Itulah yang sering dingatkan pada setiap kali khatib berada di atas mimbar. Bagi menzahirkan ketaqwaan yang tulen kepada Allah SWT. maka sikap, pemikiran, tingkahlaku, idea, pandangan dan amalan hendaklah semata mata ditumpukan ke arah mempertahankan syiar Islam. Malahan apabila manusia sentiasa bertaqwa maka Allah SWT. akan memberikan jalan keluar atau jalan penyelesaian bagi setiap masalah.

Jalan keluar dengan memperoleh rezeki yang tidak disangka-sangka itulah berkat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surahAt-Thalaq ayat 2 – 3:

Surah At-Thalaq ayat 2

Maksudnya: “Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),”

 

Surah At-Thalaq ayat 3

Maksudnya: “Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

  • Hari ini masih ramai manusia yang tidak mengikut perintah Allah SWT. Bermakna pada masa yang sama mereka jugamelanggar perintah Allah. Mereka lakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Mereka lakukan dengan angkuh, takbur, bongkak seolah-olah Allah SWT. tidak mampu untuk bertindakbalas terhadap keingkaran mereka. Jika ada manusia yang sanggup mencerca, menghina, mempersenda, mencabar, mempertikai arahan Allah SWT., maka sudah pasti Allah SWT. akan mengangkat kembali berkat-Nya.
  • Apabila ada di antara umat Islam yang tidak ikhlas ketika beramal. Tanpa ikhlas maka tidak akan ada kebaikan terhadap sesuatu amalan. Seseorang yang ikhlas hanya mengharap balasan dan keredhaan Allah SWT. Mereka sangat yakin bahawa setiap perbuatan sama ada kecil atau besar, zahir mahupun batin, semuanya akan mendapat balasan daripada Allah SWT. Lantaran itu penghayatan mengenai konsep ikhlas sangat diperlukan ketika beramal.
  • Apabila segolongan manusia termasuk umat Islam melakukan kerosakan. Kerosakan tersebut ialah; melakukan kezaliman, merampas harta, mencuri, tidak beramanah, melakukan tipu daya, melakukan amalan-amalan bid’ah, mengajar ajaran sesat, berfahaman libral, sekular, berfahaman yang terkeluar daripada syariat Islam, menuduh orang baik melakukan kejahatan tanpa mengemukakan saksi yang adil dan lain-lain perkara buruk. Itu adalah sebahagian daripada sebab mengapa keberkatan dicabut oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian, marilah kita sentiasa mematuhi perintah Allah dalam segala urusan. Dengan ini kita akan dapat meneruskan kehidupan dengan tenang, damai dan tenteram. Kita amat mengharap keredhaan Allah SWT. sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Kita mesti meyakini bahawa Allah SWT. sentiasa memberikan ganjaran dan keberkatan-Nya kepada insan yang ikhlas, jujur dan amanah.

 

Surah Al-Jinn ayat 16-17

Maksudnya: “(16) (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. (17) (Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar – derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.”

Sumber: Khutbah Jumaat (24 Disember 2004 – Jabatan Agama Islam Selangor)

 

2 thoughts on “Rezeki Yang Berkat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s