Peluang Hidup Sebelum Mati


بسم الله الرحمن الرحيم
Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kita tentang kepentingan mengejar peluang yang diberikan dalam hidup. Kita diingatkan agar memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. Ternyata kurniaan peluang hidup sebelum mati adalah peluang yang paling bernilai bagi seorang hamba Allah di dunia ini.Sesungguhnya kematian yang pasti itu adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita untuk membuktikan pengabdian kita kepada Allah SWT.Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

67:2

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);”

Justeru, walaupun di tahap mana usia kita, ruang kehidupan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk beramal soleh sebagai bekalan untuk bertemu Allah S.W.T. Apatah lagi di ketika usia meniti senja, maka sewajarnya kesempatan ini digunakan sebaik mungkin sebagai bukti syukur kita kepada Allah S.W.T yang telah mengurniakan bonus usia kepada kita selaku hamba-Nya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bahawa seorang pemuda telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W :

“Wahai Rasulullah, siapakah insan yang paling baik?” Rasulullah menjawab,”Orang yang panjang usianya dan baik amalannya.” Pemuda itu bertanya lagi,”Maka siapa pula insan yang paling keji?” Baginda menjawab, “Orang yangpanjang usianya namun jahat pula perlakuannya”. (Riwayat At-Tirmizi)

Di atas kenyataan ini, kita seharusnya sedar dan mempersiapkan jadualdan rancangan hidup agar ia bertepatan dengan panduan Rasulullah S.A.W sehingga ke penghunjung usia. Semoga dengan umur yang panjang kita berjaya menjadi hamba Allah yang paling baik dengan kekal beramal soleh hingga ajal menjemput kita.Antara perancangan yang perlu dilakukan untuk mencapai hasrat menjadi manusia terbaik ialah :

Pertama : Memperuntukkan masa untuk menuntut ilmu bagi memastikan segala amal ibadah kita tepat dan sah menurut Sunnah RasulullahS.A.W. Kita sewajarnya lebih serius menuntut ilmu agama dan beramal. Tanpa ilmu dan maklumat yang tepat, kita bimbang segala amal kita tidak diterima oleh Allah S.W.T.

Kedua : Mendampingi orang-orang yang mampu memperbaiki kelemahan dan kekurangan kita, membantu mempertingkatkan kefahaman Islam, bersedia menegur dan menasihati kesilapan kita dan dan berada di samping kita ketika kita memerlukan. Memilih rakan dan sahabat yang baik adalah faktor penting kerana sahabat adalah penentu dan pencorak peribadi dan gaya hidup kita. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

”Agama seseorang itu dipengaruhi oleh rakannya, kerana itu awasilah setiap dirikamu dengan siapa dia bergaul”. (Riwayat Ahmad)

Ketiga : Segera bertaubat dan mengembalikan segala hak-hak Allah dan manusia yang pernah diceroboh. Taubat dan mengembalikan hak kepada yang empunya hak adalah satu tuntutan yang perlu dipandang serius untuk menjamin keselamatan di akhirat kelak. Renungilah sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

“Adakah engkau semua tahu, siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: ”Orang muflis di kalangan kita ialah orang yang sudah tidak memiliki lagi sesuatu benda apapun.” BagindaS.A.W. lalu bersabda: ” Orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan solat, puasa dan zakatnya ketika di dunia dahulu, dia pernah mencaci, menuduh, memakan harta dan membunuh seseorang (tanpa alasan yang benar). Maka orang yang dianiaya itu diberikan pahala orang tadi. Mangsa yang lain pun diberikan pahalanya juga. Jikalau pahala-pahalanya sudah habis sebelum terlunas tanggungan kezalimannya, maka ambillah dari dosa-dosa orang orang yang dianiayanya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, kemudian orang tersebut dilemparkanlah ke dalam neraka”.. (Riwayat At-Tirmizi)

Keempat : Berdoa dan mengharap bantuan dan pimpinan Allah S.W.T hingga ke akhir usia. Antara doa yang terbaik diamalkan untuk tujuan ini adalah doa yang dirakamkan Allah S.W.T di dalam Surah Ali Imran ayat 8 :

 

Maksudnya: “(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

Bersyukur kepada Allah di atas kurniaan-Nya dengan dilanjutkan usia dan kesihatan kepada kita. Kita perlu membajainya dengan perlakuan akhlak yang baik dan membuang segala tabiat dan perilaku yang buruk. Akhlak yang baik diibaratkan sebagai bunga yang kekal mengharum dan dikenang meskipun sewaktu kita telah tiada lagi di atas muka bumi ini. Pamerkan akhlak yang baik seperti taat beribadah, suka menasihati dan memberi panduan kepada seseorang dengan penuh kasih sayang. Ini merupakan punca utama yang mengundang rahmat dan keredhaan Allah di samping kasih sayang manusia.Hadis daripada Abdullah bin Amru bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Orang-orang yang penyayang itu dikasihi Allah yang bersifat ‘Ar Rahman’. Kasihi mereka yang berada di bumi pasti kamu akan dikasihi oleh mereka yang berada di langit”.

Pengajaran

Pertama : Pengurniaan usia yang panjang adalah nikmat yang perlu dihargai.

Kedua : Meningkatkan usaha dalam menuntut ilmu dan beramal soleh serta menghiasi diri dengan akhlak yang mulia.

Ketiga : Mencari rakan yang baik dan hidup dalam suasana yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan mentaati perintah-Nya.

Keempat : Segera bertaubat mengikut landasan perjuangan hidup Islam dan berdoa agar kekal dalam hidayah Allah hingga ke akhir usia.

Kelima : Melibatkan diri dengan perkara-perkara amar maaruf nahi mungkar serta memahamkan syariat Islam dalam masyarakat.

Keenam : Mengasihi manusia agar Allah dan para malaikat mengasihi kita.

62:8

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.

Sumber: Khutbay Jumaat – 4 Mac 2011 (Jais)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s