Kebesaran Kalam


Front of the Quran

Image via Wikipedia

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum,

Sedang aku sedang meng”install” perisian Mac OS X Snow Leopard pada komputer aku, teringat akan aku pada sebuah aplikasi al-Quran, Zekr. Sebuah aplikasi di mana kita boleh mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran bersama-sama terjemahan pilihan yang kita mahukan. Adapun tempoh hari ada aku melewati laman web aplikasi tersebut dan telah memuat-turun bacaan dari Sheikh Mishary Rashid Ghareeb Mohammed Rashid Al-Afasy. Beliau juga dikenali sebagai Abu Norah.

Beliau berkerakyatan Kuwait, dilahirkan pada tahun 1976. Berkepunyaan dua puteri. Mendapat pendidikan di The Islamic University, Medina(KSA).

Sepedengarnya bacaan beliau memang sedap. Sebelum ini aku amat meminati bacaan dari Said Al-Ghamdi. Terlintas dibenak hati ini untuk mencari bacaan-bacaan beliau di saluran YouTube, dan terserempak aku dengan sebuah video di mana beliau memperdengarkan satu bacaan dari Surah Fassilat iaitu ayat 19 hingga 36.

Bacaan tersebut diperdengarkan semasa solat, begitu sayu bacaan beliau sehinggakan beliau menitiskan airmata, malah keseluruhan makmum turut sama menitiskan air mata. Lantas aku perdengarkan sekali lagi, malah aku memuatturunkan video tersebut untuk mengamatinya dan membaca terjemahan tersebut dan kini aku mengetahui mengapa beliau menitiskan air mata.

Marilah kita amati terjemahan bacaan beliau.

Surah Fussilat (41:19-36)

[19] Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing.

[20] Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

[21] Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

[22] “Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu).

[23] “Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!”

[24] Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya.

[25] Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya).

[26] Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”

[27] Maka, demi sesungguhnya! Kami akan merasakan orang-orang yang kafir itu azab seksa yang seberat-beratnya, dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

[28] Demikianlah keadaannya balasan musuh-musuh Allah iaitu neraka; disediakan untuk mereka tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Kami.

[29] Dan orang-orang yang kafir berkata: “Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia, untuk kami meletakkan mereka di bawah tapak kaki kami, supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan”.

[30] Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

[31] “Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.

[32] “(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”

[33] Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

[34] Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

[35] Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.

[36] Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Moga dari penulisan ini menjadi satu kesedaran buat kita semua. Insya Allah.

Sumber Terjemahan:  Surah Fussilat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s