Kembalilah Ke Pangkuan Al-Quran


بسم الله الرحمن الرحيم

Mengenang peristiwa demi peristiwa yang berlaku dewasa ini, gejala demi gejala, musibah yang melanda dan jenayah yang berleluasa mengharapkan satu penyelesaian untuk kebahagiaan sebuah kehidupan, keharmonian, ketenteraman dan keselamatan. Penurunan Al-Quran kepada kita, adalah sebenarnya sebagai satu jawapan kepada kemelut yang ada. Apabila ternyata gagalnya sistem atau peraturan manusia, sepatutnya sikap dan keyakinan kita hanya kepada Al-Quran. Persoalannya bilakah lagi kita akan berjaya menjadikan undang-undang agung ini sebagai peraturan dalam kehidupan kita. Hanya berpandukan Al-Quran sahajalah yang mampu menjadi petunjuk, rahmat dan membawa berita gembira serta panduan untuk membimbing manusia memperolehi jalan kemenangan dan kebahagiaan.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 89:

“Kami turunkan kepadamu (Ya Muhammad) kitab Al-Quran ini bagi menjelaskan tiap-tiap suatu perkara dan  menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan membawa berita gembira bagi orang-orang Islam”.

Al-Quran mampu menyelesaikan semua perkara yang berlaku kepada dunia dan ia mampu menunjukkan jalan kebenaran sekaligus memberikan rahmat kepada kehidupan manusia. Persoalannya adakah umat Islam hari ini bersedia untuk kembali kepada hukum Islam sebagai penyelesai masalah yang berlaku?.

Hari ini kita melihat dunia menangis akibat kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Sebahagian manusia semakin jauh terpesong daripada Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada mereka. Inilah punca akidah semakin menyimpang, akhlak semakin goyang, syariat pula semakin hilang.

Keadaan semakin dahsyat dan mencabar. Justeru, amatlah wajar bagi umat Islam segera kembali kepada Al-Quran sebagai penyelamat dan satusatunya jalan penyelesaian.

Kenapa manusia masih teraba-raba mencari formula lain untuk dijadikan penyelesai masalah yang berlaku sedangkan Al-Quran telah menunjuki jalan kepada kita bagaimana tuntasnya kemelut yang berlaku itu dengan kembali melaksanakan segala isi  kandungannya, menegakkan hukum-hakamnya dan menjadikannya sebagai peraturan dan undang-undang bagi orang yang bertaqwa?.

Firman Allah SWT dalam Surah Toha ayat 123:

“Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara”.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan dalam tempoh lima tahun lalu (2004-2009), anak luar nikah yang telah didaftarkan ialah seramai 214,000 orang dan kebanyakannya membabitkan orang melayu yang beragama Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kita hairan berhadapan dengan sesetengah sikap yang ditonjolkan oleh sebahagian umat Islam yang seolah-olah tidak yakin kepada kemampuan Al-Quran untuk membendung dan menangani kes seperti masalah pembuangan bayi tersebut. Sedangkan kehidupan yang dipandu Al-Quran telah menunjukkan jalan penyelesaian kepada kita. Sepertimana berikut:

  1. Digalakkan berkahwin ke atas orang-orang bujang agar kehormatan diri mereka dapat dipelihara.
    Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 32:
    “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha mengetahui”.
  2. Kewajipan menutup aurat hendaklah difahami sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 59:
    “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka  dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
  3. Menjaga pergaulan bebas. Hadith riwayat Tirmizi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
    “Tidaklah seorang lelaki berduaan dengan perempuan kecuali yang ketiganya adalah syaitan”.

Hakikatnya tidak ada jalan lain yang mampu membendung dan menyelesaikan masalah ini kecuali kita kembali berhukum dengan ajaran Al-Quran. Percayalah selama mana kita tidak segera kembali meletakkan Al-Quran di persada kemuliaan sebagai rujukan undang-undang dan hukum, masalah yang dihadapi tidak akan menemui jalan penyelesaian.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Israk ayat 9:

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat benar (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan bagi orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”.

Beberapa langkah segera perlu diambil untuk mengembalikan kesedaran umat Islam agar nilai Al-Quran bukan hanya dibaca atau disimpan di kutub khanah semata-mata. Justeru, umat Islam secara drastik perlu untuk mengambil beberapa langkah bagi memastikan Al-Quran kembali di singgahsana keagungannya seperti butiran berikut;

  1. Pendedahan pelbagai teknik belajar membaca Al-Quran melalui klinik-klinik Al-Quran hendaklah diketengahkan sebagai alternatif atau usaha bagi umat Islam menguasai bacaan dan pembelajaran Al-Quran. Hadith riwayat Imam Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
    “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan kemudian mengajarkannya”.
  2. Penekanan terhadap tarbiyyah dan didikan anak-anak supaya lebih fokus untuk mengenali Al-Quran, memahami isi kandungannya, mengetahui hukum-hakam dan peraturannya serta memastikan penerusan pengajian agama diutamakan sehingga mampu melahirkan ‘alim ‘ulama dan seterusnya berperanan mengislahkan umat berdasarkan Al-Quran.
    Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 122:
    “Hendaklah keluar sebahagian dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka menjadi orang-orang yang memberi peringatan (dari melakukan larangan Allah)”.
  3. Usaha-usaha hendaklah diperjuangkan oleh umat Islam bagi mengembalikan undang-undang dan peraturan Allah supaya ianya dapat ditegakkan dan dilaksanakan seterusnya maslahah umat dapat dipelihara dan mampu membendung gejala pemesongan akidah dan sosial yang berlaku.
    Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 105:
    “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.”
  4. Bawalah kembali ummah menghayati syariah Islam kerana dengan mengikut syariatlah satu-satunya jalan keluar dari belenggu jahiliyyah dan kerosakan.
    Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 48:
    “Maka jalankanlah hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) tentang apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti masing-masing)”.
  5. Meneruskan kesedaran kepada umat Islam supaya membudayakan pembacaan Al-Quran untuk dibaca di masjid-masjid, di pejabat dan di rumah. Hanya orang-orang yang terbuka jiwanya dengan sinaran Al-Quran sahaja yang begitu memahami bahawa hanya hukum Allah SWT sahajalah penyelesai segala kemelut yang berlaku. Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban:
    “Lazimkan olehmu membaca Al-Quran, kerana Al-Quran itu cahaya bagi kamu di bumi dan perbendaharaan bagi kamu di akhirat”.

Ayuhlah sidang Jumaat sekalian, saya menyeru diri saya, keluarga dan juga tuan-tuan hadirin sekalian, kembalilah mengagungkan Al-Quran dan tegakkanlah hukum-hakamnya untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat.

(Al-Maidah: 49)

“Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang  telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, Hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosadosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari  umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik”.

Sumber: Khutbah Jumaat (Jakim bertarikh 22/04/2011)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s