Keunggulan Kepimpinan Rasulullah SAW


بسم الله الرحمن الرحيم

Keunggulan Kepimpinan Rasulullah SAW

Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

Mafhumnya:Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.(Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW  adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran “al-Amin” kerana keunggulan Baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran “ al-Amin” ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Baginda.

Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Baginda juga cukup hebat. Sebagai contoh Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan keunggulan dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu.

Selain Abu Jahal, al-Qur’an juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang tidak bermaruah sehingga merosakkan negara, memecah belahkan masyarakat, dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya antaranya ialah Fir’aun, Haman, dan Qarun.

Menurut  Prof  Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Fir’aun adalah pemerintah diktator, mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir’aun menjalankan tugas untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir’aun; manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang kaya raya mengambil peluang daripada pemerintah. Beliau membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain. kesemua watak-watak  pemimpin ini yang dirakamkan di dalam al-Quran memperlihatkan golongan yang tamak kuasa, mengejar jawatan , mengaut keuntungan dan kemewahan dunia di atas penderitaan orang lain, yang akhirnya mereka ini dimusnahkan oleh Allah SWT di dunia dengan menjadi sehina-hina manusia.

Setiap kali kita solat, kita sering membaca al-Qur’an, takbir, tasbih, syahadah dan selawat kepada Nabi SAW. Semua ini adalah amalan Islam untuk mengukuhkan keunggulan dan jati diri umat Islam selari dengan al-Qur’an dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang dilaksanakan dari masa ke masa gagal membentuk kita menjadi pemimpin yang jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong daripada manusia yang rugi dan menipu diri sendiri.

Malahan keunggulan seorang pemimpin berkait rapat dengan imej dan amalan individu itu sendiri. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun Baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali Baginda menyebut umatku! umatku! umatku!. Apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah keunggulan kepimpinan Rasulullah SAW membawa kepada terselamatnya umat Islam dari azab Allah SWT .Sebagaimana sabda  Rasulullah SAW:  “Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka”.(Riwayat al-Bukhari).

Begitu juga umat yang senantiasa mengingati Rasulullah SAW dengan bersalawat kepadanya akan mendapat pelbagai manfaat antaranya dikurniakan kebajikan, dimakbulkan berbagai do’a, mendapatkan syafa’at dan selamat dari kebakhilan. Berdasarkan kepada sirah ini menunjukkan bahawa kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya senantiasa tertanam dalam jiwanya dan terpahat di hati sehingga ke akhirat.

Kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:

Maksudnya:Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati.

 Apa yang jelas, dalam ayat ini bahawa  kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT dan sebagai seorang pemimpin hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Ketinggian akhlak dan keunggulan Rasulullah SAW terus dikagumi umat Islam walaupun Baginda telah lama wafat. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan golongan tertentu sehingga sanggup menyebarkan fitnah dan mengaibkan Rasulullah SAW  dan umat Islam. Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul SAW pada 5 Februari ni di Masjid Putra, Putrajaya dan lain-lain tempat seluruh negara, marilah kita hadir bersama keluarga bagi menyemarakkan rasa kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai bukti mempertahankan martabat Rasulullah SAW.

Pada masa yang sama, semua pihak hendaklah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan keunggulan  yang telah dicontohi Rasulullah SAW dan para sahabat melalui langkah berikut: Pertama: Memantapkan urus tadbir negara, masyarakat, dan keluarga dengan mencontohi Rasulullah SAW dan berpandukan syariat Islam, Kedua: Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin yang korup dan tidak beretika, ketiga: Mereka yang tiada integriti dan akauntabiliti walaupun terlepas hukuman di dunia tetapi tidak terlepas daripada hukuman Allah SWT pada hari akhirat, dan keempat:  Pemimpin yang unggul akan lebih dihormati, dikagumi dan disayangi oleh masyarakat.

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya.

Sumber: Khutbah Jumaat 3 Februari 2012 – Jakim

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s