Nabi Ibrahim: Penghulu Segala Nabi


بسم الله الرحمن الرحيم

Nabi Ibrahim a.s mempunyai kedudukan yang agung di sisi para pemeluk tiga agama: Yahudi, Kristian dan Islam. Namanya selalu disebut-sebut dan dihubungkan dengan penghormatan, doa dan keagungan. Baginda termasuk di dalam golongan Nabi Ulul Azmi. Baginda bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah untuk beribadat kepada Allah dan mengesakan-Nya. Baginda juga telah merelakan dirinya untuk mati di jalan akidah yang mempercayainya. Hidup baginda penuh dengan pengorbanan demi untuk Tuhannya. Maka, perbuatan baginda yang lahir dari keikhlasan dan kecintaan yang sangat mendalam kepada Allah dijadikan sebagai perumpamaan bagi seluruh umat selepasnya.

Kedudukan dan ketinggian darjat baginda juga telah mencerminkan bahawa baginda adalah orang tua para nabi. Maka setiap kitab yang diturunkan dari langit kepada salah seorang di antara para nabi setelah Nabi Ibrahim adalah dari keturunan dan pengikutnya(1). Ini merupakan kedudukan dan kehormatan bagi Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim mempunyai dua orang anak, iaitu Nabi Ismail dan Ishaq. Keduanya dipilih oleh Allah sebagai Nabi. Nabi Ismail dalah datuk Nabi Muhammad saw(2) dan datuk dari orang-orang Arab Hijaz. Ini kerana asal keturunan orang-orang Arab Hijaz itu kembali kepada kedua anak Nabi Ismail iaitu Nabat dan Qaidzar(3).

Al-Quran telah menerangkan bahawa Nabi Ibrahim adalah orang tua bangsa Arab. Sebagaimana firman Allah Ta’ala yang ditujukan kepada orang-orang Mukmin Arab:

Surah Al-Haj 22_78

“Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini”

Sesungguhnya Nabi Ishaq telah dikurniakan seorang putera bernama Yaakub. Dialah yang menjadi kebanggaan Bani Israel. Seluruh keturunan Bani Israel mengakui bahawa mereka satu keturunan dengan Nabi Yaakub. Di antara keturunan-keturunan itu terdapat banyak para Nabi yang terakhir sampai kepada Nabi Isa iaitu putera Maryam sebagaimana yang dikatakan dalam Injil. Nabi Isa telah berkata kepada pengikutnya: “Ibrahim adalah orang tua kamu. Baginda bergembira hingga melihat masaku sekarang ini. Ia melihatnya, maka bergembiralah ia.(4)

Kemudian Al-Quran menjelaskan pula bahawa Nabi Ibrahim adalah orang tua para Nabi yang datang sesudahnya.

Allah berfirman:

Surah Al An'am 6: 84-86

“Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut(5); dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).”

Daripada nas Al-Quran ini jelaslah bagi kita bahawa Nabi Ibrahim adalah datuk orang-orang Yahudi, Nasrani dan Islam. Nabi-nabi dari ketiga-tiga agama ini bertemu pada satu keturunan. Mereka berasal dari satu negeri dan berusaha mencapai satu tujuan iaitu melaksanakan wasiat-wasiat Allah yang diturunkan kepada mereka dan menyeru beribadat kepada Allah semata-mata.


(1) Ibnu Katsir, Al Bidayah wa ‘n-Nihayah, Jilid 1, m/s 167
(2) Para Ahli Silsilah telah bersepakat bahawa silsilah Rasulullah saw berakhir sampai kepada Adnan bin Adad dan silsilah keturunan Adnan berakhir sampai kepada Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim.
(3) Tarikhu ‘th-Thabari, Jilid 1, m/s 221
(4) Johanes: 8: 56
(5) Nabi Lut adalah anak saudara Nabi Ibrahim, oleh kerana itu maka baginda termasuklah di dalam keturunannya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s